11/08/2026
Teaser 1
“ASSALAMUALAIKUM,” tegur Harraz lembut kepada seorang perempuan yang sedang duduk di bangku taman rekreasi itu. Dia melabuhkan punggung di sebelah perempuan itu, namun masih mengekalkan jarak yang wajar. Adatnya begitu, tak manis dipandang orang jika duduk terlalu rapat walaupun di tempat terbuka.
“Eh, waalaikummusalam. Awak buat apa dekat sini?” tanya perempuan itu sembari memandang insan yang muncul tiba-tiba di sisinya. Riak terkejut jelas terpamer.
Harraz tersenyum. Siapa kata Zubir seorang saja yang ada perempuan idaman? Dia pun ada. Cuma... disimpan kemas dalam hati. Hubungan mereka masih sekadar kawan dan dia tak mahu mengharapkan apa-apa terlalu awal. Tambahan p**a, usianya sudah mencecah 35 tahun dan hidup membujang sejak mula berkhidmat. Kadang-kadang dia sendiri terfikir, entah wujud lagi atau tidak perempuan yang sudi hidup bersama dengan seorang tentera.
“Saja nak jumpa Han. Rasanya dah dekat dua bulan kita tak jumpa,” ujar Harraz, pandangannya tak lari daripada wajah Rihana yang tampak manis dalam cahaya petang itu. Kulitnya tak terlalu putih, tak terlalu gelap. Cukup elok, cantik pada padangannya.
Rihana mengangguk. Dia pun sedar kesibukan Harraz. Tugas tentera bukan kerja pejabat 8:00 ke 5:00. Apabila dipanggil, perlu bergerak. Bila diarahkan, perlu bertugas. Dia sudah lama faham dan sebagai kawan, dia menerima hakikat itu tanpa mengeluh.
“Habis tu... awak rindu saya ke tak?” Rihana sengaja bergurau, bibirnya mengukir senyum.
“Mestilah saya rindu dekat Han. Kalau tak, saya takkan ada dekat sini.”
“Macam-macam la awak ni,” balas Rihana lantas tertawa kecil.
Namun, tawa itu tak lama. Harraz mula diam, memandang ke hadapan. Ada sesuatu di fikirannya. Sesuatu yang sudah lama dia simpan tapi tak pernah berani luahkan. Dia menarik nafas perlahan.
“Saya nak tanya satu soalan... boleh?” Suara Harraz berubah serius.
Rihana mengangguk perlahan, sedia mendengar.
“Macam mana dengan rawatan Han? Keluarga Han ada bantu tak?”
Rihana bungkam seketika. Dia tidak menjangka Harraz akan menyentuh hal itu. Dia menekur ke tanah. Jari-jemarinya menguis hujung kasut, seolah-olah mahu menyapu angin untuk menenangkan hatinya sendiri.
“Semuanya... okey. Tapi....” Suaranya terhenti di tengah jalan.
“Tapi apa, Han?”
“Tapi sejak akhir-akhir ni keluarga saya ulang semula perangai lama mereka. Dia orang cakap tak nak sakitkan saya lagi, nak jaga saya sampai saya sembuh. Tapi... dia orang tipu.” Nafas Rihana bergetar halus. “Saya benci orang munafik. Saya rasa nak lari dari rumah... tapi saya tak tahu nak pergi mana.”
Berat, terlalu berat. Dari kecil hinggalah dewasa, dia langsung tidak mengenal erti kasih sayang sebuah keluarga.
Harraz yang mendengar pun terasa seakan mahu memeluk bahu Rihana. Namun, di antara mereka tetap ada batas. Dia takkan menyentuh tanpa ikatan. Jika suatu hari Allah izinkan mereka disatukan... mungkin lain ceritanya.
“Saya tahu Han kuat,” ujar Harraz perlahan. “Saya yakin suatu hari nanti, keluarga Han akan layan Han sebaik-baiknya. Tapi kalau ada apa-apa... kalau Han rasa sempit atau tak tertanggung, saya ada. Saya takkan penat dengar apa saja yang Han nak luahkan.”
Perlahan-lahan, Rihana mengangkat wajah. Ada sinar lega yang mula terbit. Walaupun keluarganya jarang mempedulikan perasaannya dan selalu mencaci sehingga hatinya terluka, sekurang-kurangnya ada seorang yang sudi duduk di sisinya tanpa syarat, tanpa menilai.
“Terima kasih... sebab selalu ada dengan saya.”
“Saya akan selalu ada dengan Han,” balas Harraz jujur.
Rihana tersenyum dan senyuman itu tampak seperti sesuatu yang lama hilang dalam dirinya. Bagi Rihana, Harraz hadir sebagai saksi sunyi kepada kesakitan dirinya dan itu sudah cukup membuat hatinya sejuk.
“Untung isteri awak nanti,” kata Rihana tiba-tiba.
Dahi Harraz berkerut, bingung dengan maksud ayat itu. “Untung? Maksud Han? Saya tak faham.”