07/07/2025
APA BENDA TIME-OF-USE TNB NI?
Skim Time-of-Use (ToU) yang diperkenalkan TNB ni sebenarnya satu peluang baik untuk pengguna domestik di Semenanjung Malaysia jimat bil elektrik.
ToU ni asalnya memang ditawarkan untuk pengguna industri dan komersial je sebab dorang guna elektrik banyak gila ikut waktu operasi, tapi sekarang TNB dah buka peluang ni untuk pengguna rumah biasa pulak.
Kiranya sekarang orang awam pun boleh enjoy kadar murah kalau bijak guna elektrik luar waktu puncak macam main timing je bila nak hidupkan mesin basuh, aircond, cas EV dan sebagainya. Jimat pun boleh, bijak pun nampak.
Konsep dia mudah je iaitu korang akan dikenakan kadar elektrik yang lebih rendah kalau guna tenaga pada waktu luar puncak, contohnya antara pukul 10 malam sampai 2 petang esoknya.
Hari minggu dan cuti umum lagi best sebab 24 jam dikira sebagai waktu luar puncak. Jadi kalau korang jenis pasang aircond waktu malam, cuci baju tengah-tengah malam atau cas EV masa tidur, skim ni memang padu untuk korang.
Dari segi harga, kalau korang guna bawah 1,500kWh sebulan, kadar luar puncak cuma 24.43 sen/kWh, lebih murah berbanding tarif biasa 27.03 sen/kWh.
Maksudnya, korang jimat 2.6 sen setiap kilowatt jam. Tapi kalau korang guna masa waktu puncak (antara 2 petang hingga 10 malam hari bekerja), kadar naik sikit je jadi 28.52 sen/kWh, iaitu lebih mahal 1.49 sen dari tarif biasa.
Kalau penggunaan korang lebih daripada 1,500kWh, kadar waktu puncak dan luar puncak akan naik 10 sen lagi, tapi kadar penjimatan waktu luar puncak masih kekal sama. Kiranya, walaupun kadar naik sikit, korang masih boleh jimat kalau pandai guna waktu yang betul.
Sebagai contoh, kalau satu rumah guna 400kWh sebulan dan semua tu digunakan waktu luar puncak contohnya cas kereta EV waktu malam, guna mesin basuh, air fryer dan sebagainya, korang boleh jimat sekitar RM10.40 sebulan.
Kalau guna 1,000kWh sebulan waktu luar puncak, penjimatan boleh mencecah RM26.00 sebulan. Ini belum masuk lagi insentif tambahan macam pengecualian caj runcit RM10 sebulan untuk pengguna bawah 600kWh, dan rebate kecekapan tenaga sampai 25 sen/kWh untuk penggunaan bawah 1,000kWh.
Untuk daftar ToU ni boleh email ke [email protected], pergi Kedai Tenaga atau tunggu sampai 1 Ogos 2025, sebab masa tu permohonan boleh dibuat terus dalam app MyTNB.
Korang cuma perlu hantar borang, salinan MyKad/pasport dan dokumen berkaitan kalau ada syarikat. Kalau rumah korang dah pakai meter pintar, skim ToU ni boleh aktif dalam 5 hari bekerja. Kalau belum ada meter pintar, mungkin ambil masa hingga 2 bulan untuk naik taraf meter tu.
Paling penting, skim ni bukan automatik dan bukan wajib. Kalau rasa tak ready nak ubah gaya guna elektrik, boleh je kekal dengan tarif biasa. Tapi kalau pandai susun masa dan tahu bila nak hidupkan peralatan elektrik berat, ToU ni memang boleh bagi penjimatan ketara setiap bulan.