11/01/2026
Sebelum Pakcik kahwin dengan Makcik, arwah emak pesan satu perkara.
"Kau bawak dia ke rumah kita, kalau dia OK Alhamdulillah. Kalau dia tak OK, kau carilah orang lain"
Itu arwah emak cakap. Bukan apa, jika enggang bersarang tinggi, mahukah turun bersarang di dahan rendah? Kami orang miskin, kerja hari ini untuk makan hari ini. Kerja esok untuk makan esok. Mak ayah juga bukan orang terpelajar. Emak tak sekolah dan tak pandai membaca, ayah sampai darjah 6 sahaja.
Satu hari, makcik dan adiknya serta sepupu dia pun datanglah ke ceruk negeri Pahang untuk pergi melihat rumah papan Felda yang dah senget tak tumbang lagi. Orang lain dah robohkan buat rumah batu, tapi rumah pakcik masih sama lagi macam masa masuk Felda dulu. Alhamdulillah Makcik pandai bawa diri, dia sangat OK dan tidak p**a terlihat canggung. Arwah emak approved.
Pakcik p**a dipanggil ke rumah mak ayah makcik tu tanpa kehadiran dia (sebab makcik di UK sedang bergelut nak siapkan PhD cepat-cepat sebab nak balik kahwin). Pakcik kena panggil ke rumah bakal mentua di USJ 9. Walaupun mereka berpendidikan tinggi, punyai pangkat tinggi dalam kerajaan, bergelar, juga dihormati sebagai aristokrat masyaakat tapi penerimaan mereka pada pakcik sangat ringkas.
"Asalkan bukan penagih dadah dan rajin berusaha"
Tak susah. Malah semasa majlis pertunangan kami sedang berundingkan hantaran, ayah mentua jelas-jelas beritahu,
"hantaran itu biarlah anak-anak yang nak bernikah bincang sesama mereka, kita setuju sahaja".
Padahal, sebelum rombongan bergerak, pakcik dah cakap pada semua wakil pakcik -- "Setuju sahaja berapa yang disebut...jangan nego apa-apa".
Alhamdulillah.
Sebulan lagi, genap 19 tahun kami bernikah. Pakcik bersyukur ada arwah emak dan ayah yang sangat merendah diri dan sedar kedudukan diri kami sendiri buatkan pakcik juga sentiasa sedar asal usul pakcik. Syukur juga, ada isteri yang menerima apa sahaja yang suaminya ada tanpa meminta lebih. Ibu dan ayah mentua yang sangat bertoleransi dan percaya untuk lepaskan anak kesayangannya berkelulusan doktorat dari universiti terulung dunia kepada seorang sarjana muda kelas ke-2 rendah.
Pusingan itu, bakal berulang kembali.
Kami (Abah dan Mummy) kepada Orked dan adik-adiknya meletakkan syarat mudah yang sama untuk bakal menantu kami.
Kuat bekerja dan boleh dipercayai.
Kami OK sahaja kalau calon itu miskin sekalipun asalkan bukan miskin budi bahasa dan daya usaha. Jika ada daya usaha, pasti tidak selamanya akan miskin. Pakcik bagitahu anak-anak pakcik, zaman ini kalau nak kahwin dengan orang kaya yang baik hati, spesis ini dah pupus. Kalau ada pun, suami orang.
Tak guna kahwin anak orang kaya tapi bangun pagi hari dah terang, bila suruh kerja pun malas dan bila tak ada duit terus Whatsap "Daddy, nak 5k".
Bersiaplah untuk mulakan kehidupan dari sebuah rumah kosong, dan isilah dengan kasih sayang di dalamnya sehingga kasih sayang itu memenuhi segenap ruang sekalipun rumah itu hanya ada alas tidur dan dapur sahaja.
Pakcik ubah perspektif anak-anak melihat dunia. Takrif semula arti kekayaan itu ialah kebahagiaan. Atas sebab itu, kita mungkin akan melihat sepasang suami isteri yang tinggal di pondok kecil di tengah sawah itu lebih kaya dari saudagar kapal dan minyak.
SAIFUL NANG
Abah yang Penyayang