22/08/2026
Sudut Wanita Siri 2: Jagalah Mental Health, Jagalah Circle & Jaga Energy Kita 🌹♥️🌹
Dalam penulisan yang lalu, saya telah berkongsi tentang kepentingan mental health dalam kehidupan seorang wanita. Mental health bukan sekadar berkaitan tekanan atau kemurungan, tetapi juga tentang bagaimana kita menjaga hati, emosi dan ketenangan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Persoalannya, bagaimana sebenarnya kita menjaga mental health?
Bagi saya, salah satu caranya ialah dengan menjaga circle dan energy dalam kehidupan kita.
Saya seorang yang sangat menjaga energy. Malah, saya selalu berpesan kepada team saya, "Jagalah energy kamu kerana energy menentukan bagaimana kita bekerja, berfikir dan menjalani kehidupan."
Saya percaya setiap manusia membawa aura positif atau aura negatif. Aura itu mungkin tidak dapat dilihat dengan mata, tetapi kita mampu merasainya melalui kata-kata, sikap dan kehadiran seseorang.
Pernahkah anda mengalami situasi ini?
Sebelum bertemu seseorang, kita berasa tenang dan penuh semangat. Namun selepas pertemuan itu, badan terasa letih, fikiran menjadi berat dan emosi seolah-olah turut berubah. Sebaliknya, ada juga insan yang hanya dengan beberapa minit berbual mampu membuat kita pulang dengan hati yang lebih tenang, senyuman yang lebih ikhlas dan semangat yang kembali menyala. Walaupun pertemuan itu singkat, perkongsiannya memberi inspirasi dan meninggalkan kesan yang positif dalam diri kita.
Bagi saya, itulah aura seseorang. Individu yang membawa energy positif mampu membangkitkan semangat orang lain, cara dia bercakap, berfikir dan melayani orang lain mampu membangkitkan semangat sesiapa yang berada di sekelilingnya. Walaupun mungkin sekejap, kehadirannya cukup membuat orang di sekeliling berasa lebih yakin, lebih tenang dan lebih bermotivasi. Sebab itulah saya sangat percaya bahawa energy yang kita bawa memberi kesan kepada kehidupan orang lain.
Circle yang baik bukan sekadar tempat untuk bergelak ketawa. Circle yang baik ialah mereka yang sentiasa mengingatkan kita tentang impian ketika kita hampir berputus asa. Mereka tidak iri dengan kejayaan kita, malah meraikannya. Mereka tidak menjatuhkan ketika kita lemah, tetapi menghulurkan tangan untuk membantu kita bangkit.
Dalam kehidupan, kita juga akan bertemu dengan "joy killer". Mereka mungkin terdiri daripada orang-orang yang sentiasa berada di sekitar kehidupan kita. Tanpa disedari, kata-kata yang sinis, rungutan yang tidak pernah habis, sikap yang sentiasa negatif atau tabiat merendahkan orang lain boleh menguras energy kita sedikit demi sedikit.
Saya bukan mengajak kita membenci atau menjauhkan diri daripada sesiapa. Tetapi saya percaya, kita perlu bijak menjaga batas. Kita tidak mampu mengawal apa yang orang lain katakan atau lakukan, tetapi kita mampu mengawal siapa yang kita izinkan mempengaruhi hati, fikiran dan ketenangan hidup kita.
Sebab itu saya sentiasa mengingatkan diri sendiri, jangan biarkan aura kita bocor.
Jangan biarkan kata-kata negatif memadamkan cahaya yang telah kita bina. Jangan biarkan emosi orang lain menjadi beban yang kita pikul setiap hari. Jagalah hati, jagalah fikiran dan peliharalah energy yang Tuhan anugerahkan kepada kita.
Dalam masa yang sama, marilah kita bermuhasabah. Jangan sampai kita sendiri menjadi "joy killer" dalam kehidupan orang lain. Jadilah wanita yang membawa harapan, bukan keresahan. Jadilah wanita yang menyebarkan semangat, bukan keraguan. Jadilah wanita yang kehadirannya membuat orang lain berasa lebih tenang, lebih dihargai dan lebih yakin dengan diri mereka.
Akhirnya, saya ingin berpesan kepada semua wanita...
Jagalah circle anda.
Kerana circle yang baik bukan sekadar menemani perjalanan hidup, tetapi turut membentuk cara kita berfikir, merasa dan membuat keputusan. Pilihlah mereka yang mengangkat semangat ketika kita jatuh, yang berani menegur dengan kasih sayang dan yang benar-benar gembira melihat kita berjaya.
Jangan takut untuk menjauh daripada perkara atau hubungan yang sentiasa menguras ketenangan jiwa. Menjaga circle bukan bererti memutuskan silaturahim, tetapi bijak menjaga batas demi kesejahteraan emosi dan mental kita.
Ingatlah, energy itu berjangkit. Jika kita dikelilingi oleh aura yang positif, kita juga akan menjadi pembawa cahaya kepada orang lain.
Jagalah circle. Jagalah energy. Dan jangan biarkan aura kita bocor. Kerana wanita yang hebat bukan sahaja menjaga dirinya, tetapi juga bijak memilih siapa yang berjalan bersamanya.
🩷🩷🩷
Suzie Salapan