14/04/2026
TAMPARULI: Hampir 100 hari tragedi tragis di Jalan Tamparuli–Ranau berlalu, namun keluarga mangsa mendakwa kes seolah-olah ‘dibekukan’ tanpa tindakan jelas terhadap suspek.
Ahli keluarga, Mollyniah Joannes meluahkan kekecewaan apabila tiada perkembangan walaupun video dashcam kejadian sudah lama tular.
“Kami cuma mahu keadilan. Sudah 94 hari, tapi masih tiada jawapan,” katanya.
Pasangan suami isteri yang maut meninggalkan tiga anak kecil, termasuk seorang berusia lapan tahun yang kini sering bertanya tentang ibu bapa mereka.
Lebih memilukan, barangan sekolah yang dibeli pada hari kejadian menjadi kenangan terakhir buat keluarga.
Mollyniah turut mempersoalkan kenapa kes lain boleh disiasat pantas, tetapi kes ini terus senyap, walaupun rakaman jelas menunjukkan suspek memandu laju dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh mangsa.
Difahamkan, siasatan masih menunggu laporan kimia walaupun suspek sudah direman sejak hari kejadian.
“Kami rayu pihak berkuasa jangan biarkan kes ini berlalu begitu sahaja,” katanya.