01/09/2025
Rasa seperti lama kita tidak mengadakan ceramah di Kelantan, mungkin kita bimbang dengan trend semasa, khuatir orang tidak ramai hadir. Bagi saya, ceramah tetap perlu diteruskan. Kehadiran ramai atau sedikit bukanlah ukuran. Yang lebih utama ialah tradisi ini terus hidup dan sampai ke telinga manusia. Hari ini kita bukan sahaja disapa oleh kehadiran fizikal, bahkan lebih jauh lagi melalui siaran langsung di alam maya yang mampu menembusi sempadan dunia.
Tahun ini, perjalanan perjuangan PAS di bumi Kelantan telah menjangkau usia 70 tahun. Satu rentang masa yang sarat dengan s**a duka, penuh pengorbanan dan kesetiaan. Dahulu, wajah perjuangan sering dikaitkan dengan Ustaz, Tok Guru dan para ulama yang menjadi tunjang kebangkitan. Namun hari ini, kita melihat satu corak baharu yang lebih berwarna. Hadir bersama para peguam, arkitek, jurutera, doktor dan ramai lagi daripada pelbagai lapangan ilmu serta profesion. Inilah bukti kedewasaan sebuah gerakan, tanda kemajuan dan pencapaian yang semakin mengukuhkan tapak perjuangan.
PAS kini berdiri teguh dengan kekuatan terbesar di Parlimen, berjumlah 43 orang wakil rakyat, diikuti DAP dengan 40 orang. Keyakinan rakyat juga telah meletakkan PAS sebagai pilihan untuk memimpin negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Namun, seiring dengan bertambahnya kekuatan, semakin hebat p**a badai ujian yang melanda.
Pernah saya ceritakan sebelum ini tentang pandangan Lee Kuan Yew terhadap Kelantan, seorang tokoh yang terkenal dengan ketajaman fikirannya. Beliau mampu menilai dan akhirnya mengakui ada sesuatu yang istimewa pada negeri ini. Jika orang luar pun boleh nampak kelebihan serta keistimewaan Kelantan, apakah alasan kita sendiri untuk memperkecilkan tanah yang begitu banyak berjasa?
Atas sebab itu, tidak keterlaluan untuk ditegaskan bahawa orang Kelantan yang sanggup menghina tanah tumpah darahnya sendiri sebenarnya menafikan kebenaran. Akal yang sihat tidak akan mengizinkan kita merendahkan negeri yang membesarkan kita, tempat kita meniti kehidupan, mencari rezeki dan membina keluarga.
Bukanlah Kelantan ini sebuah negeri yang sempurna, dan tidak pernah ada siapa pun mendakwa begitu. Kita semua sebagai manusia tidak terlepas daripada kekurangan, kesilapan dan kelemahan. Namun di sebalik segala keterbatasan itu, sepanjang 35 tahun memimpin Kelantan, jalan yang dipilih tetap jalan yang benar. Meletakkan asas Kelantan Membangun Bersama Islam sejak tahun 1990 adalah satu keputusan yang penuh hikmah.
Sejarah pemerintahan Islam sendiri sudah membuktikan kewibawaan tamadun yang mengatasi segala peradaban lain. Panduannya tersedia, lengkap memimpin manusia sepanjang zaman. Maka yakinlah dengan kekuatan perjuangan ini, kerana kita memiliki al-Quran dan as-Sunnah yang kekal segar.
Dalam khazanah ilmu Islam, para ulama sejak dahulu telah mengupas persoalan pentadbiran, politik dan ekonomi. Ibnu Taimiyah menulis As-Siyasah as-Syar‘iyyah, membicarakan urusan pemerintahan, pengurusan negara, termasuk aspek keadilan sosial, ekonomi dan peranan pemerintah. Abu ‘Ubaid al-Qasim p**a menghasilkan Kitab al-Amwal, yang khusus membincangkan urusan kewangan negara. Abu Yusuf menulis Kitab al-Kharaj, yang menjadi rujukan penting tentang cukai dan hasil bumi dalam negara Islam. Itu belum lagi ditambah dengan ratusan kitab moden yang boleh menjadi panduan bagi kita pada hari ini.
Jangan sekali-kali terlintas dalam hati bahawa ulama tidak tahu mengurus ekonomi. Hakikatnya, pandangan mereka jauh lebih luas kerana berpaksikan wahyu. Malaysia memiliki jajaran penjawat awam serta pegawai profesional yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Mereka hanya menanti untuk dipandu oleh pemimpin yang benar-benar berwawasan.
Islam itu lengkap, tidak ada yang tertinggal. Tok Guru telah pun menunjukkan jalan. Banyak perkara yang kini menjadi amalan nasional, asalnya lahir di bumi Kelantan. Rumah tiga bilik untuk rakyat, cuti dua hari seminggu, bantuan beras bulanan dan khairat kematian. Semuanya bermula di sini. Kelantan menjadi pelopor, mendahului negeri-negeri lain, meskipun dengan sumber dan kuasa yang terbatas.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada PAS Kawasan Kota Bharu atas jemputan, sepentas bersama Che GuBard dan Ustaz Ja. Semoga memberi manfaat dan meninggalkan bekas yang baik dalam hati kita semua.