18/05/2026
Hari ni ada seorang datang ke kedai.
Dia nak beli ready-made reading glasses, cermin mata baca siap pakai yang biasa ada atas rak.
Saya tanya umur.
"39."
Saya pelik sikit.
Umur masih muda, tapi bacaan dekat dah mula tak jelas?
Saya tanya lagi.
Baca dekat tak selesa, atau memang tak jelas?
"Tak jelas. Kena jauhkan sikit baru boleh baca."
Bila mula perasan?
"Tahun lepas. Mula-mula sekejap-sekejap. Sekarang dah selalu kabur."
Saya tanya lagi sikit. Cuba gali lebih dalam.
Bila saya tanya betul-betul, rupanya bukan tahun lepas.
Dah beberapa tahun sebenarnya.
Cuma dulu kaburnya datang dan pergi. Kadang-kadang jelas, kadang-kadang kabur. Jadi dia ingat itu masalah biasa, tak fikir panjang.
Baru tahun lepas ia jadi lebih kerap, sampai dia perasan betul-betul.
Dan dia juga ada sakit kepala.
Dia kerja IT. Depan komputer hampir sepanjang hari.
Bila dengar sampai situ, saya pause seketika.
Saya tak terus jual cermin. Saya ajak dia buat pemeriksaan mata penuh dahulu.
━━━━━━━
Selepas pemeriksaan menyeluruh, barulah gambaran sebenar muncul.
Mari saya terangkan apa yang berlaku dalam mata dia. Saya cuba buat semudah mungkin.
Dalam mata kita ada sistem fokus.
Bila kita tengok jauh, sistem ini lebih relaks.
Bila kita baca dekat, guna telefon, atau tengok skrin komputer, sistem ini perlu bekerja lebih kuat untuk pastikan tulisan nampak jelas.
Dalam kes dia, dua perkara berlaku serentak.
Pertama, dia ada sedikit hyperopia.
Kecil sahaja. Sebab tu penglihatan jauh dia masih nampak okay, dan dia sendiri tak perasan ada apa-apa.
Tapi walaupun kecil, ia bermakna sistem fokus mata dia kena bekerja sedikit lebih, walaupun ketika tengok jauh. Bila dia tengok dekat p**a, beban fokus itu jadi lebih tinggi.
Kedua, kerja dia sebagai IT memang banyak melibatkan skrin, detail kecil, dan fokus dekat berjam-jam.
Bila demand dekat terlalu lama tanpa rehat yang cukup, sistem fokus mata boleh jadi cepat penat dan kurang stabil.
Sebab itu pada peringkat awal, penglihatan dia kejap jelas, kejap kabur.
Bila sistem fokus masih mampu bertahan, dia nampak jelas.
Bila mula penat, fokus terlepas dan bacaan jadi kabur.
Lepas rehat sekejap, jelas balik.
Itu sebab dulu kaburnya datang dan pergi.
Sekejap nampak, sekejap tak.
Tapi itu dulu.
Sekarang dah lain.
Bila saya periksa, kabur dekat dia bukan lagi sekejap-sekejap.
Ia sudah jadi lebih konsisten.
━━━━━━━
Kenapa boleh jadi makin teruk?
Bukan satu sebab sahaja.
Ia gabungan beberapa faktor.
Demand kerja dekat yang tinggi dan berterusan.
Tabiat kerja depan skrin terlalu lama.
Kurang rehat visual.
Dan sedikit hyperopia yang membuatkan sistem fokus mata bekerja lebih daripada biasa.
Bila semua ini berterusan bertahun-tahun, sistem fokus mata boleh jadi semakin cepat penat dan kurang stabil.
Bila saya ukur kekuatan fokus matanya, bacaan itu lebih rendah daripada yang biasa kita jangka untuk umur 39 tahun.
Lebih kurang seperti tahap kekuatan fokus orang yang berumur 46 hingga 47 tahun. Sedangkan umur sebenar dia baru 39.
Sakit kepala p**a kemungkinan besar datang daripada sistem fokus yang bekerja melebihi kemampuan selesa, hari demi hari.
━━━━━━━
Tentang cermin +1.50 yang dia beli online tu.
+1.50 itu sebenarnya bukan power yang tepat untuk dia.
Begini.
Mata kita perlukan power berbeza untuk jarak berbeza.
Untuk baca dekat, macam buku atau telefon, jarak lebih kurang 40 cm, dia sebenarnya hanya perlukan kira-kira +1.00 hingga +1.25 sahaja (belum termasuk sedikit rabun silau).
Tapi untuk kerja komputer, yang jaraknya lebih jauh sedikit, dia perlukan power yang lebih rendah lagi, dalam anggaran +0.50, baru nampak selesa dan jelas.
Sebab makin jauh sesuatu benda, makin kurang power yang diperlukan untuk fokus.
Cermin +1.50 sedikit tinggi daripada yang diperlukan. Mungkin masih lagi boleh digunakan untuk dekat, tetapi bukan untuk skrin komputer.
Dan dalam masa yang sama, satu power sahaja tak cukup untuk keperluan sebenar dia, dan ia tidak dibuat berdasarkan jarak kerja sebenar dia.
Yang lebih penting, ia tidak menjawab soalan utama.
Kenapa mata dia sudah kabur untuk jarak dekat di usia yang masih muda?
━━━━━━━
Kalau anda dalam pertengahan 30-an, kerja depan skrin, dan mula rasa bacaan dekat tak selesa seperti dahulu, buat pemeriksaan mata supaya anda tahu puncanya, bukan sekadar mengagak.
Nota: ada juga simptom mata penat yang puncanya berbeza, seperti mata kering. Itu cerita lain, saya akan kongsi dalam posting akan datang.
Jumpa optometrist anda. Atau singgah ke Menara Optometry, kami akan bantu.
💬 Komen "SAYA" atau DM kami, kami akan bantu jadualkan slot pemeriksaan.
━━━━━━━
Sharing by:
Muhammad Hazwan
Optometrist, Menara Optometry MDV
Kisah ini diolah daripada pengalaman sebenar di praktis kami. Sesetengah butiran diubah untuk menjaga privasi pesakit dan memudahkan penerangan.