18/08/2025
Ini benang. Benang ni jenis polyester. Saya rasa, majoriti benang yang kita guna kat Malaysia ku yang tercinta ni, jenis polyester.
Benang ada pelbagai saiz. Yang ni, 250m, juga paling biasa digunakan. Ada juga saiz 1000m, ada 4000m, malah ada juga sehingga 12000m, tapi untuk kuantiti 12000m ni hanya ada warna hitam dan putih.
Untuk mesin portable lurus, paling sesuai saiz 250m. Kalau mesin jahit tepi portable, paling besar boleh guna 4000m. Mesin industri boleh je guna semua jenis saiz.
Kalau lah anda rasa, bidang jahitan hanya tentang sebuku benang ni, dan tak habis pun jahit untuk kegunaan sepasang pakaian, anda salah.
Benang perlukan jarum. Jarum ni kiranya jodoh sejati benang lah. Waima nak jahit guni sekalipun, jarum tetap diperlukan.
Kalau pun ada jarum, tidak bermakna anda boleh menghasilkan pakaian, jika tiada pengetahuan. Pengetahuan memang boleh didapati secara meluas di zaman IT dan AI ni, tapi, yang buat pakaian anda tu cantik, selesa dipakai, adalah ilmu. Ilmu yang menjana kemahiran adalah hasil dari pengetahuan yang diamalkan.
Dan, ulangan tu bukan dua Kali, bukan tiga kali, bukan empat kali. Kadang-kadang anda perlukan bertahun-tahun untuk mahir dalam ilmu tersebut.
Dengan benang Dan jarum, serta ilmu yang ada, tanpa sebiji mesin jahit pun, pakaian boleh dihasilkan. Tapi, pakaian bukan produk Dari benang, jarum Dan mesin semata-mata.
Bermula dari kenal bentuk badan, ukur badan, kemudian ukuran-ukuran tersebut dipindahkan ke diagram pakaian atau kita panggil pola pakaian. Sebelum masuk ke pola pakaian, kita kena kenal pasti fesyen apa yang dikehendaki, sesuai tak dengan bentuk badan, sesuai tak dengan corak, sesuai tak dengan jenis Kain dan sesuai tak dengan pematuhan syariat.
Kemudian, Dari pola, kita pindah kan ke atas kain. Kena tahu ilmu Kain juga. Apa IRA dia, apa material dia, apa cara yang terbaik untuk mengendalikan kain tersebut, jenis jarum yang sesuai, ukuran kia jahitan yang sesuai, ketegangan benang yang sesuai.
Belum terhenti kat kain, kena ambil tahu juga jenis kapur yg kita guna. Jenis gunting dan jenis peniti atau pemberat.
Selepas itu, bagaimana penyudah tepi yang sesuai. Bukan semua Kain sesuai untuk guna mesin jahit tepi.
Dah nak cantum, kena pandai kendalikan mesin dan kain. Sambil-sambil tu, benang pun kena perati. Benang bawah pun kena belek.
Dah jahit tu, bukan main biar je tau. Kena tekan basi jahitan. Kena pikir seterika jenis apa yang sesuai. Kena jaga suhu, silap gaya boleh terbakar Kain. Kadang kena guna papan penekan. Seterika ni bukan aja untuk "iron". Tapi kena pandai "pressing", baru jahitan flat dan kemas.
Jahit tu pulak, bukan takat cantum kain aja, tuan tuan dan puan puan. Ada yang perlu dilapik, ada yang perlu dijahit zip, ada yg perlu dijahit getah dan pelbagai lagi.
Proses akhir jahitan adalah fitting dan finishing. Kebanyakan tailor di Malaysia, siap finishing, nak ambil baju baru fitting. Kalau designer yg retis atau tempahan yang kelabu mata saya nak bayar tu, mereka akan panggil pelanggan fitting dulu baru finishing. Saya rasa, tailor lah lebih terer kan? Hampir kebanyakan tak perlu fitting pun, pelanggan puas hati.
Jadi, dalam proses menjahit ni terutamanya pakaian, alatan yang terlibat bukan hanya jarum, benang dan mesin jahit. Selain peralatan, kemahiran kognitif, kritikal thinking, problem solving, fine motor yang baik, amat penting dalam menghasilkan sepasang baju.
Jadi, untuk menghasilkan sepasang baju, bukan sahaja benang, jarum, mesin jahit diperlukan, malah pembaris jahitan, gunting Kain, gunting kertas, kertas pola, pita ukur, kapur, jarum peniti, seterika, papan seterika, zip, butang, Kain dan kertas gam, mesin jahit tepi, kun, elektrik, badan yang sihat, dan ilmu.
Soalan saya, apakah selepas membaca semua yang di atas, adakah anda rasa kemahiran jahitan adalah sesuatu yang murah, cikai dan takda nilai sehinggakan kelas jahitan tak layak mendapat yuran yang sebaiknya?
Dan soalan saya lagi, selepas membaca semua yang di atas, anda masih merasakan yang para penjahit tidak layak mengenakan cas yang sepadan dan selayaknya?
Tak sama proses menghasilkan pakaian pukal dan tempahan peribadi. Jadi, walaupun kita boleh beli kat sopi dan TikTok baju dengan harga yang murah, NILAI baju yang ditempah tak mampu menandingi baju yang dijahit secara pukal.
Sekurang-kurangnya, penjahit anda menjahit dengan penuh kasih sayang.
Begitulah.