12/09/2022
Tokoh-Tokoh Wanita Islam Yang Menginspirasi Dunia
10 Tokoh Wanita Islam
‘Aishah binti Abu Bakar (w. 678) seharusnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Akan tetapi, sumbangan beliau terhadap budaya ilmu sangat besar dan beliau memainkan peranan penting ketika hayat dan selepas kematian suaminya, Rasulullah SAW. ‘Mendapat gelaran Humayra’ daripada suami tercinta, beliau adalah gadis bijak yang mempunyai daya ingatan yang baik sejak dari kecil lagi dan dicatatkan bahawa beliau telah meriwayatkan 2210 hadis. Aishah telah meriwayatkan sejumlah hadis yang besar setanding dengan Abu Hurairah, Ibn ‘Umar dan lain-lain. Beliau mempunyai daya kefahaman yang tinggi terhadap hukum-hukum al-Quran, Sunnah, Fiqh, Fara’id dan sebagainya, dan juga mahir di dalam sya’ir dan kesenian Islam. Sepanjang hayatnya digunakan untuk menegakkan syiar Islam sehinggalah beliau kembali ke Rahmatullah ketika umurnya mencecah 67 tahun.
Nusaybah binti Ka’ab al-Ansariyyah (w. 634) merupakan antara penganut Islam terawal di Madinah. Beliau dikenali sebagai Ummu Ammara dan berasal dari suku Bani Najjar. Beliau diingati kerana keberaniannya menyertai Perang Uhud menentang tentera Makkah. Dengan bersenjatakan pedang dan perisai, beliau melindungi Nabi Muhammad SAW dari serangan musuh, bahkan mengalami kecederaan parah apabila menggunakan tubuhnya bagi mengelakkan serangan ke atas baginda. Diriwayatkan bahawa beliau rebah pengsan setelah mengalami kecederaan yang kedua belas, dan apabila sedar (keesokan harinya di Madinah) persoalan pertama yang keluar dari mulutnya ialah “adakah Nabi masih hidup?”
Fatimah al-Fihri (w. 880) dikenali sebagai wanita penting dalam kemajuan pendidikan dan tamadun. Beliau mengikut ayahnya berhijrah dari Qayrawan di Tunisia ke Fez di Maghribi. Membesar dengan kakaknya dalam keluarga yang berpendidikan, beliau mewarisi sejumlah wang dari ayahnya yang digunakannya untuk membina sebuah masjid untuk komuniti Muslim. Ditubuhkan pada tahun 859, masjid Qarawiyin adalah antara masjid yang tertua tertua, dan telah diiktiraf sebagai universiti pertama di dunia. Pelajar dari pelbagai pelusuk dunia mengembara ke sana untuk mengkaji Islam, astronomi, bahasa, dan sains. Nombor Arab dikenali dan digunakan di Eropah melalui universiti ini.
Lubna dari Cordoba (w. 984) merupakan seorang hamba dari Sepanyol yang kemudiannya menjadi seorang tokoh istana terpenting pada zaman Umayyah di Cordoba. Beliau sangat mahir dalam bidang sains, penyelesaian masalah geometri dan algebra yang paling kompleks, dan kesusasteraan umum. Oleh sebab itu, beliau memperoleh pekerjaan penting sebagai setiausaha swasta kepada Khalifah Al-Hakam II, dan bertugas sebagai pengerusi perpustakaan diraja yang mengandungi lebih daripada 500,000 buku. Menurut sarjana Andalusia tersohor, Ibnu Bashkuwāl: “Beliau cemerlang dalam penulisan, tatabahasa, dan puisi. Pengetahuannya tentang matematik juga amat luas dan beliau mahir dalam ilmu-ilmu lain. Tiada yang lebih mulia di istana Umayyah tersebut daripada dia.” [Ibnu Bashkuwal, Kitab al-Silla (Kaherah, 2008), Jil. 2: 324].
Sutayta a-Mahmali (w. 987) adalah antara contoh wanita yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang. Nama asalnya adalah Amat al-Wahid, anak perempuan kepada hakim terkenal di Baghdad iaitu Abu Abdullah al-Husayn al-Muhamili. Antara bidang yang dikuasainya adalah kesusasteraan, hadis, dan bahasa Arab serta matematik. Dikatakan bahawa beliau seorang pakar dalam ilmu hisab (aritmetik) dan fara’id (pengiraan harta), kedua-duanya adalah cabang praktikal matematik yang telah dibangunkan dengan baik pada masanya. Dikatakan juga bahawa beliau telah mencipta penyelesaian untuk persamaan yang telah dipelopori oleh ahli matematik lain, yang menunjukkan kebolehan dalam algebra. Walaupun persamaan ini sedikit, mereka menunjukkan bahawa kemahirannya dalam matematik melebihi kebolehan untuk melakukan perhitungan.
Maryam al-Ijliya al-Astrulabiy berasal daripada Aleppo, Syria. Beliau hidup pada kurun ke-10 dan terkenal sebagai seorang wanita yang berprestij dalam dunia astronomi. Namanya menjadi sebutan kerana telah mencipta sebuah alat yang dipanggil astrolobe iaitu sebuah instrumen yang menentukan posisi matahari dan planet-planet. Instrumen tersebut digunakan untuk keilmuan astronomi, astrologi, dan horoskop. Astrolobe juga digunakan untuk mengetahui waktu dan sebagai navigasi dengan cara mencari lokasi berdasarkan bintang dan bujur. Sedangkan, bagi umat Muslim, astrolobe digunakan untuk menentukan kiblat, waktu solat, dan awal Ramadhan serta Aidil Fitri. Zaman kini, astrolobe menyamai sistem navigasi pintar yang dikenali sebagai Global Positioning System (GPS). Kejayaan beliau adalah inspirasi daripada ayahnya yang merupakan seorang pegawai yang membuat astrolobe di Baghdad. Tetapi, hasil rekaan dan teknik pembuatan beliau lebih rumit dan inovatif berbanding ayahnya. Walaupun namanya tidak begitu terkenal, tetapi sumbangan dan rekaan beliau adalah sangat besar dalam dunia astronomi seperti mana yang telah disebut oleh Al-Fihris Ibnu al-Nadim.
Fatimah binti Sa’d al-Khayr (w. 1130) merupakan antara ulama hadis wanita yang terkemuka daripada kurun keenam hijrah. Beliau dikenali dengan gelaran Ummu Abdul Karim. Ayahnya, Sa’d al-Khayr bin Muhammad bin Sahl al-Ansari al-Balansi merupakan ulama’ hebat yang berniaga dan merantau daripada Andalusia. Fatimah telah dilahirkan di China ketika dalam pengembaraan keluarganya daripada Valencia, Sepanyol, dan meneruskan tradisi mengembara ke serata pelusuk dunia. Mengikut jejak langkah ayahnya, Fatimah juga turut mengembara. Ketika singgah di beberapa tempat seperti Baghdad, Isfahan, Hamadan dan sebagainya, beliau berpeluang belajar dari para ulama di situ sejak usianya masih kanak-kanak. Beliau berkahwin dengan Zayn al-Din Abul Hasan Ali Ibrahim b. Naja (w. 599AH) dan membawanya mengembara ke kota Damsyiq. Suaminya adalah anak murid ayahnya sendiri, dan kemudiannya berkhidmat sebagai setiausaha salah seorang pemimpin Ayyub iaitu Nur al-Din al-Zengi apabila mereka mengambil keputusan untuk menyambung kembara ilmu ke Mesir dan menetap di kota tersebut. Beliau hidup pada zaman terakhir zaman kegemilangan Islam, dan sempat hidup di bawah pemerintahan Salah al-Din al-Ayyubi (memerintah 569-589AH), dan Pertempuran Hittin (583H/1187M) yang telah membebaskan Jerusalem dari Tentara Salib.
Arwa al-Sulayhi (w. 1138) yang juga dikenali sebagai al-Malika al-Hurra merupakan seorang ratu dan pemerintah Yaman pada tahun 1067 hingga 1138. Beliau seorang Syi’ah Ismailiyah dan mahir dalam pelbagai ilmu agama, al-Quran, hadis, dan juga puisi dan sejarah. Ahli sejarah menggambarkan beliau sebagai yang sangat bijaksana. Hakikat bahawa beliau memerintah kerana kelayakannya sendiri sebagai ratu disokong dengan fakta bahawa nama beliau disebut sejurus selepas nama khalifah di zaman Fatimi, iaitu al-Mustansir-billah dalam khutbah Jumaat. Arwa diberi kehormatan tertinggi dalam hierarki keagamaan Fatimi Yaman (iaitu gelaran hujja) oleh Khalifah al-Mustansir. Beliau merupakan wanita pertama dalam sejarah Islam yang dianugerahkan pangkat dan mempunyai kuasa yang sebegitu dalam hierarki agama. Pemerintahan beliau dicirikan dengan pelbagai projek pembangunan dan kemajuan infrastruktur Yaman, dan juga peningkatan integrasi Yaman dengan seluruh dunia Islam.
Fatima binti Abi al-Qasim ‘Abd al-Rahman bin Muhammad (w. 1216) merupakan seorang wanita yang terpelajar di bumi Andalusia. Kegiatan beliau dengan karya-karya teori perundangan dan juga mistik menunjukkan bahawa beliau fasih dengan pelbagai ilmu Islam. Beliau adalah ibu kepada profesor terkemuka Abu al-Qasim b. al-Ṭaylasān. Menurut sarjana Andalusia Abu Ja’far al-Gharnāṭī (m. 1309): “Beliau menghafal begitu banyak buku di bawah bimbingan bapanya, termasuklah Tanbih tulisan al-Makki, al-Syihab dari al-Qudā’ī, Mukhtasar dari Ibnu ‘Ubayd al-Ṭulayṭalī, ketiga-tiganya yang dihafal ayat demi ayat. Beliau juga menghafaz Al-Quran di bawah bimbingan Abu ‘Abd Allah al-Madwarī, ahli zuhud hebat yang dianggap dari kalangan Abdal [iaitu pangkat penting dalam ilmu tasawuf]. Bersama ayahnya, beliau juga mempelajari Sahih Muslim, kitab Sirah yang ditulis Ibnu Hisham, Al-Kamil karya al-Mubarrad, Nawādir karya al-Baghdadi, dan karya-karya lain.”
Shajarat al-Durr (w. 1257) pernah memainkan peranan penting dalam politik Mesir selepas kemangkatan suaminya, Sultan al-Salih Ayyub pada zaman Ayyubi (1240-1249). Pada tahun 1250, beliau telah menjadi pemerintah (atau Sultanah) Mesir; pemerintahannya umum dianggap menandakan permulaan kesultanan Mamluk di Mesir. Beliau memainkan peranan penting dalam persiapan mempertahankan Mesir utara dalam Perang Salib Ketujuh, mengalahkan tentera salibi (walaupun beliau sendiri tiada di medan peperangan) dalam Pertempuran Fariskur (1250) dan mengambil Raja Louis IX dari Perancis sebagai tawanan. Beliaulah ketua negara dan nama beliau disebutkan dalam khutbah dan syiling ditatahkan dengan nama beliau dengan gelaran “Malikat al-Muslimin” (Ratu Muslimin). Walau bagaimanapun, terdapat perbalahan pendapat untuk memilih wanita sebagai pemimpin, dan beliau membuat keputusan untuk bernikah dengan seorang tokoh Mamalik bernama Sultan Izzudin Aybak. Walaupun begitu, Shajar al-Durr tetap mengekalkan kuasa beliau, bahkan memastikan bahawa dokumen-dokumen negara dimaterikan dengan kedua-dua nama pemerintah tersebut, dan bukan hanya pada nama Aybak. Tetapi, sebuah tragedi menimpa hubungan mereka dan menyebabkan beliau membunuh suaminya itu. Apabila diketahui, beliau diusir dan dibunuh dengan kejam, menamatkan pemerintahan beliau dengan tragis. Biarpun demikian, sesetengah ahli sejarah menyatakan bahawa Syajarat al-Durr merupakan pengasas Kerajaan Memalik di bumi Mesir yang bertahan sehingga tahun 1811 dan merupakan dinasti yang paling lama bertahan di bumi Mesir.