30/08/2019
ASALAMMUALAIKUM 🌹
Dalam kalendar terdapat 7 hari dalam seminggu. Hari yang amat istimewa bagi kaum Muslimin ialah hari Jumaat. Banyak kelebihan yang ada pada hari Jumaat dan keutamaan yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.
1. Hari Paling Mulia
Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini.
Abu Hurairah R.A meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam as) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim)
2. Hari Bagi Kaum Muslimin
Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya umat Muhammad SAW dalam masjid untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengar dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”(Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9)
3. Penghulu Segala Hari
Hari Jumaat adalah hari yang teramat istimewa kerana islam meletakkan hari Jumaat sebagai ketua dan ganjarannya lebih berbanding dengan hari-hari yang lain. Dalam suatu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul Ayyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”
Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir R.A berkata, Rasululullah SAW berkata, “Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling mulia di sisi Allah. Hari Jumaat ini lebih mulia dari hari raya Aidilfitri dan Aidiladha di sisi Allah. Pada hari Jumaat terdapat lima peristiwa; Diciptakannya Adam dan diturunkannya ke bumi, pada hari Jumaat Adam dimatikan, di hari Jumaat juga terdapat waktu yang mana jika seseorang meminta kepada Allah maka akan dikabulkan selagi tidak memohon yang haram, dan di hari Jumaat juga akan berlakunya kiamat. Tidaklah seseorang Malaikat yang dekat di sisi Allah SWT, di bumi dan di langit kecuali dia dikasihi pada hari Jumaat.” (HR. Ahmad)
4. Hari Kebesaran Mingguan
Dalam 7 hari yang ada, hari Jumaat adalah ‘Hari Besar’ yang berulang setiap minggu.
Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah saw bersabda: “Hari ini adalah hari besar yang Allah tetapkan bagi Umat Islam, maka siapa yang hendak menghadiri solat Jumaat hendaklah mandi terlebih dahulu.” (HR. Ibnu Majah)
5. Hari Perhimpunan Bagi Solat Jumaat
Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaatnya untuk mendapatkan ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu; Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas; Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam, dan Sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”